Sunday, November 20, 2011
Sampai masanya :)
Allah yang menguasai segala yang ghaib. Manusia hanya mampu mentafsir dan melihat bukti kekuasaannya berdasarkan yang mereka alami hari ini. Manusia hanya mampu menjangka masa hadapan berdasarkan apa yang berlaku semalam.
Dengan pandangan yang sungguh terhad, kita tidak mampu berfikir dan melihat dengan lapang. Allah berpesan supaya kita sentiasa berbaik sangka kepadaNya. Allah mahu kita bergantung padanya. Allah mahu kita menyerahkan segala urusan kita kepadaNya. Dengan itu barulah Allah akan memberi apa yang kita mahu.
Ketika kita diuji dengan keyakinan ini, kita akan ragu-ragu benarkah Allah akan memakbulkan permintaan kita. Kita akan ragu-ragu adakah Allah mendengar doa kita. Kita akan ragu-ragu adakah Allah sedang menguruskan urusan kita. Keraguan ini mendatangkan kesedihan dan kegusaran dalam hati. Sempit hingga sukar bernafas. Sungguh kesabaran dan keyakinan kepadaNya sedang terumbang ambing. Ketika itu persoalan buruk akan timbul dalam diri. Hasil hasutan syaitan yang sentiasa menanam rasa ragu-ragu dalam hati. Adakah aku perlu berputus asa?
Itulah rona-rona hidup, iman itu sedang diuji. Kuncinya sabar dan yakin. Kerana kita berbeza dengan mereka. Mereka sedang diberi kenikmatan. Mungkin mereka juga sedang diuji dengan nikmat itu. Kita tidak sedar dengan nikmat yang kita ada. Allah mahu kita bersyukur dengan apa yang ada, kemudian barulah Dia akan tambah.
Kita tidak tahu apa yang terjadi tahun depan. Tidak tahu apa terjadi bulan depan, tidak tahu apa akan terjadi minggu depan, tidak tahu apa akan terjadi minggu depan, tidak tahu apa akan terjadi esok, tidak tahu apa akan terjadi barang sesaat akan datang. Mungkin sebentar lagi giliran kita diuji dengan nikmat dan musibah.
Islam ertinya berserah diri. Serahkan segala-galanya pada Dia. Dialah sebaik-baik perancang. Apa yang penting kita tahu apa yang kita nak, kita usaha dan usaha dengan sabar. Dan bersangka baik dengan Allah.
Ini tidak semudah kata-kata yang sedang ditulis. Ketika menjalaninya terasa sangat lemah dan tidak berdaya. Kerana itu ia dipanggil ujian. Apabila kecewa kita akan bersedih. Adakah aku sedang berputus asa? Segeralah katakan TIDAK. Kerana rahmat Allah itu luas. Sedangkan kita belum cukup berdoa dan menangis meminta. Pinta dan terus pinta.
Bersabarlah dengan kelemahan itu. Yakinlah dengan apa yang dipinta. Selagi itu sesuatu yang baik. Cubalah untuk yakin Allah sedang mendengarnya dan sedang menguruskannya. Meskipun kita sudah tidak melihat harapannya lagi. Teruslah berharap pada Allah. Cukuplah Allah untukku. Sebaik-baik pembantu dan penolong urusanku.
-Artikel iluvislam.com
artikel ini diambil bulat bulat tanpa sebarang pengolahan. dari http://www.iluvislam.com/
Labels:
blogupdated,
copypaste,
ilmu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment